Walau laris, nasi lemak Anak Dara mungkin ditutup? Ini Puncanya


SHAH ALAM, 5 Okt — Nasi Lemak Anak Dara mungkin akan menamatkan perniagaannya tahun depan selepas usaha murni Siti Hajjar Ahmad tidak direstui ibu.

Hajjar, 24, berkata sambutan menggalakkan penduduk setempat tidak menjadikan ibunya berubah hati ekoran anak perempuan sulungnya itu memiliki ijazah universiti.

“Mak tanya kenapa nak jual nasi lemak? Belajar tinggi-tinggi, kenapa tak kerja? Mak tanya macam mana dengan kerja [ditawarkan dahulu]?

“Saya kata saya nak berniaga. Tak mahu kerja. Mak kata kena kerja tetap juga. Mak kata berniaga cuma separuh masa.

“Disebabkan minat dan ramai orang beli, saya kata pada emak kalau bekerja, gaji tak banyak dan kerja kena dengar arahan dan kena marah,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO pada Isnin.

Anak ketiga daripada lima beradik ini sudah pun ditawarkan kerja pada Julai lalu sebagai jurutera kos dan reka bentuk di sebuah syarikat di Subang Jaya.

Ditawarkan gaji RM2,000 tidak termasuk elaun bulanan, anak jati Sungai Petani, Kedah berkata pendapatan yang diperoleh kini melebihi daripada tawaran itu.

Graduan kejuruteraan elektronik perubatan dari Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor ini akan bergraduasi Sabtu ini dengan Himpunan Purata Nilai Gred 3.33.

Hajar berkata, walaupun ibunya tidak berkenan dengan perniagaan yang diusahakan ini, gerai Nasi Lemak Anak Dara akan diusahakan juga secara separuh masa.

Menjadi harapan gadis putih merah ini agar dapat membuka kedai suatu hari nanti selain menambah peralatan perniagaan.

Ditanya tempoh berniaga yang diberikan ibunya sehingga tahun depan, Hajar berkata: “Tahun depankan banyak lagi ada 12 bulan,” katanya sambil tertawa kecil.

Kunjungan ProjekMMO ke gerai Hajar menyaksikan sendiri bagaimana pelanggan tidak putus-putus datang dan jualannya dapat dihabiskan dalam tempoh sejam.

Peniaga setempat mendakwa sedikit terjejas dengan nasi lemak Hajar itu namun reda dengan rezeki dikurniakan Tuhan.

“Terjejas sikit. Perniagaan berkurangan tetapi kami terima dan reda. Kawan-kawan berniaga [berhampiran] pun [sedikit terjejas] sama.

“ Di sebelah sana mungkin tidak terasa sangat sebab jauh. Pelanggan yang muda-muda ke sanalah [gerai Hajar],” kata Suhaimi Yusof, 55, yang sudah berniaga lebih 10 tahun kira-kira 100 meter dari gerai Hajar.

Sumber
Walau laris, nasi lemak Anak Dara mungkin ditutup? Ini Puncanya Walau laris, nasi lemak Anak Dara mungkin ditutup? Ini Puncanya Reviewed by Unknown on 14:21:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.