Akibat Gagal Sertai Gegar Vaganza 3, Mya@Maya Matahari Kecewa dengan Layanan Penganjur


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mya yang sebelum ini dikenali sebagai Maya Matahari, terkilan dengan layanan penganjur Gegar Vaganza (GV) yang menolak penyertaannya dalam musim ketiga program realiti itu.

Dua kali mencuba nasib menyertai uji bakat rancangan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat itu, nasib tidak menyebelahi dirinya. Bagaimanapun, bukan hakikat dirinya tidak diterima masuk GV yang mahu dipersoalkan, sebaliknya Mya membangkitkan soal layanan yang diterima daripada kedua-dua sesi uji bakat program terbabit.

"Pada musim kedua GV, penyertaan saya ditolak mungkin kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan ketika uji bakat diadakan. Ketika itu, suara saya tidak keluar dan tak mampu menyanyi dengan baik.

"Musim ketiga ini, saya tidak pasti kenapa ditolak? Ada kala saya jadi kabur dengan syarat pertandingan. "Adakah GV mahu mencari penyanyi sedia ada dari era 1980-an dan 1990-an yang pernah menyerlah suatu ketika dulu atau penyanyi yang hanya meledak dengan sebuah lagu?" katanya kepada BH Online.

Mya minta penjelasan apakah artis yang dibenarkan menyertai GV tidak boleh terikat dengan mana-mana produk atau bergelar duta. "Saya faham jika pertandingan itu mempunyai pihak penaja dan tidak mahu peserta terikat dengan produk lain. "Hakikatnya, saya tidak diikat sebagai duta oleh mana-mana produk," katanya.

Selama ini, Mya berkata, dia hanya menjadi rujukan atau testimoni sesebuah produk selain menjadi pengguna tegar tetapi tidak dianggap sebagai duta. "Saya percaya, sebagai selebriti kita kena bijak untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Saya mencari makan dalam dunia hiburan. Saya tiada perniagaan sendiri untuk menampung kehidupan harian," katanya. Tolak tawaran berlakon Mya memberitahu, bukanlah dia mahu menangguk di air keruh, sebaliknya sekadar berkongsi rasa hati yang terbuku. Menurut Mya, keputusan sama ada dirinya lulus atau tidak hasil uji bakat musim kedua dan ketiga GV juga tidak dimaklumkan pihak produksi.

Malah, pada satu tahap, dia terpaksa menghubungi pihak terbabit bagi bertanyakan perkembangan terkini. "Tidak saya nafikan, pertandingan ini banyak membantu penyanyi lama yang dilupakan dan kurang menyerlah untuk kembali diingati.

Begitupun, kalau sudah bukan namanya rezeki, kita tidak boleh berbuat apa-apa. "Saya sendiri bekerja secara profesional. Bayangkan, sementara menunggu keputusan GV3, saya terpaksa menolak banyak tawaran lain. Dua antaranya tawaran berlakon drama sebanyak 16 episod dan 80 episod selain undangan menjadi hos program bual bicara.

"Terus-terang, saya komited dalam hal kerja kali ini termasuk tawaran menantikan keputusan GV3. Tetapi, pihak produksi juga kenalah peka dan bertolak-ansur dalam hal ini. Saya mencari makan dengan cara menyertai dunia seni," katanya.

Mya mendakwa hanya mendapat tahu keputusan dirinya tidak diterima menyertai GV3 daripada kawan. "Sepatutnya, pihak produksi yang memaklumkan perkara ini. Senario sama berulang lagi, seperti ketika GV2. Saya tidak diberitahu dan terus senyap begitu saja," katanya yang sempat muncul dengan single duet bersama Saida berjudul Setia.

Sumber 
Akibat Gagal Sertai Gegar Vaganza 3, Mya@Maya Matahari Kecewa dengan Layanan Penganjur Akibat Gagal Sertai Gegar Vaganza 3, Mya@Maya Matahari Kecewa dengan Layanan Penganjur Reviewed by Unknown on 13:44:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.