Tony Eusoff Nekad Kongsi Pengalaman Dipenjara 5 Bulan Akibat Perbuatan Salah Sendiri
Pada 21 April lalu, pelakon berasal dari Sarawak Tony Eusoff telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan ekoran daripada kesalahannya memiliki dadah di Singapura.
Tony dipenjarakan di Admiralty West Prison, Singapura selepas didapati memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang dianalisis mengandungi kesan ganja sewaktu tiba di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.
Jelas Tony Eusoff, hukumannya berjaya dipendekkan dari lapan bulan kepada lima bulan sahaja apabila dia dibebaskan pada 1 Oktober lalu.
Mengaku begitu menyesal dengan perbuatan sendiri, Tony kini nekad ingin menjadikan pengalaman kisah hitam dirinya itu sebagai pengajaran pada masa depan.
Ini komen Tony:
Menyesal
“Ya benar saya sudah keluar dari penjara sejak 1 Oktober lepas,”
“Sejujurnya, selepas dibebaskan, saya terkejut dan mengambil keputusan untuk berehat selama seminggu sebelum perlahan-lahan menunjukkan muka kepada rakan-rakan.
“Saya sudah buat salah, jadi tidak mahu tambah lagi masalah yang boleh menyakitkan hati keluarga. Pengalaman dipenjarakan selama lima bulan benar-benar mendatangkan penyesalan besar dalam seumur hidup saya. Perkara ini bukan sahaja mendatangkan kesalahan dalam diri, malah kepada keluarga juga.
“Pada saya sebelum berbuat sesuatu perkara, kita harus berfikir dengan teliti terlebih dahulu. Jika bukan untuk diri sendiri, kita harus memikirkan orang tersayang iaitu perasaan keluarga,”
Kelakuan Baik
“Sebenarnya, pada hari pertama saya dimasukkan, pihak penjara Singapura telah memberitahu saya bahawa hukuman boleh dipendekkan jika berkelakuan baik.
“Perkara itu secara langsung memberi harapan kepada saya supaya tidak membuat hal dan menjaga sikap. Saya bersyukur kerana boleh keluar lebih awal iaitu hanya lima bulan dari masa yang ditetapkan selama lapan bulan,” katanya.
Pengalaman Dipenjara
“Saya banyak menghabiskan masa dengan membaca novel yang dipinjam di perpustakaan penjara. Kebanyakan novel tersebut tebal dan saya cuma mengambil masa dua hingga tiga hari untuk membacanya.
“Selain itu, saya juga menyibukkan diri dengan aktiviti kecergasan kerana setiap hari Isnin hingga Jumaat, semua banduan akan diberi masa selama satu jam untuk bersenam.
“Saya juga menghadiri sesi kaunseling sekali dalam seminggu. Saya memang akan menggunakan semua masa yang ada dengan baik kerana tidak mahu kelihatan menyedihkan apabila dibebaskan. Hasilnya, berat badan saya juga meningkat dari 80 kilogram (kg) kepada 83 kg sekarang ini,”
Sokongan Keluarga, Kawan
“Sebenarnya polisi melawat di sana sangat ketat. Pihak penjara hanya membenarkan ahli keluarga sahaja yang datang melawat dan tempoh lawatan hanya 20 minit. Memandangkan usia ibu saya sudah tua, jadi saya pesan kepadanya tunggu saya keluar sahaja nanti dan tidak perlu datang melawat.
“Satu perkara yang membuatkan saya terharu adalah sering mendapat surat daripada rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan kepada saya. Antaranya seperti Jehan Miskin dan Bront Palarae,”
“Penerimaan mereka sangat bagus sehingga saya tidak tahu hendak berkata apa. Saya sangat terharu. Dalam setiap perkongsian gambar yang saya muatnaik dalam laman Instagram, ramai peminat yang memberikan komen positif sehingga saya sendiri tidak sempat membalasnya.
Kembali Aktif
“Saya akan kembali aktif dalam dunia seni. Buat masa ini, saya sudah berbincang dengan beberapa syarikat produksi dan membincangkan tentang tawaran lakonan filem dan undangan nyanyian. Saya juga akan pulang ke Sarawak untuk berjumpa dengan saudara-mara setelah urusan di Kuala Lumpur selesai,”
Tony Eusoff Nekad Kongsi Pengalaman Dipenjara 5 Bulan Akibat Perbuatan Salah Sendiri
Reviewed by Unknown
on
23:28:00
Rating:
No comments: