Demi Kejar Impian, Elizabeth Tan Tidak Malu Hadir Ujibakat Lakonan
PETALING JAYA: Penyanyi yang terkenal dengan lagu Knock-Knock, Elizabeth Tan memberitahu minatnya yang mendalam dalam bidang lakonan membuatkan dia membuang rasa malu untuk menghadiri ujibakat lakonan.
Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy,23, berkata, kesungguhannya itu semata-mata untuk mengejar impiannya sejak kecil iaitu menjadi seorang pelakon.
"Saya minat berlakon daripada kanak-kanak lagi tapi rezeki menyanyi datang dahulu. Namun saya tidak patah semangat untuk meneruskan impian saya bergelar pelakon."Saya sering cuba nasib datang ke beberapa ujibakat lakonan, kadang-kadang mereka terperanjat dan tidak tahu saya minat berlakon, tapi malang jarang ada watak yang sesuai untuk saya," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Elizabeth, dia tidak pernah berasa malu untuk terus mencuba nasib bagi merealisasikan impiannya bergelar pelakon.
Dia yang pernah muncul dalam filem Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium ini berkata, dia bakal terlibat dengan sebuah filem dan drama terbitan RTM penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, menceritakan minatnya sebagai pelakon, penyanyi lagu Tabah ini berkata, dia sering bercakap depan cermin dan meniru beberapa watak dalam drama.
Katanya, filem pertama yang menjadi rujukannya ialah Pisau Cukur lakonan Maya Karin dan Nur Fazura.
"Saya suka berlakon dan cakap depan cermin. Kadang-kadang dalam kereta pun saya cakap seolah-olah sedang berlakon.
"Tapi saya sedar tahap penguasaan bahasa Melayu membuatkan saya sukar untuk mendapat watak yang sesuai untuk drama-drama tempatan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, muzik video single terbaharunya berjudul Tabah baharu sahaja dilancarkan pada malam Rabu lalu.
Katanya, dia seronok menjalani penggambaran muzik video tersebut biarpun terpaksa mengambil masa selama 18 jam.
"Penggambaran uzik video mengambil masa 18 jam dan ia sangat seronok, saya tidak kisah menunggu lama yang penting hasil dan kualiti yang memuaskan,"ujarnya.
Demi Kejar Impian, Elizabeth Tan Tidak Malu Hadir Ujibakat Lakonan
Reviewed by Unknown
on
08:01:00
Rating:
No comments: