Pandelela-Jun Hoong Sumbang Pingat Pertama Di Rio
RIO DE JANEIRO: Gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menceriakan kontinjen negara apabila menyumbang pingat pertama di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro ini.
Pasangan itu menyumbang pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama yang diadakan pada Selasa (awal pagi Rabu waktu Malaysia).
Pandelela, pemenang pingat gangsa acara 10m platform individu di Sukan Olimpik London 2012, yang berganding buat kali ketiga dengan Jun Hoong dalam kejohanan antarabangsa, mengumpulkan 344.34 mata menerusi lima terjunan mereka di Pusat Akuatik Maria Lenk di sini.
Catatan itu membolehkan mereka berada di belakang gandingan pilihan, Chen Ruolin dan Liu Huxia dari China yang mendapat 354 mata.
Pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion, yang berkongsi kedudukan kedua dengan Malaysia selepas dua terjunan awal, mendapat pingat gangsa selepas mengumpulkan 336.18 mata.
Pandelela-Jun Hoong memulakan aksi dengan mengutip 52.8 mata dengan terjunan reverse pike, untuk terikat bersama Kanada selepas terjunan pertama.
Gandingan China itu jelas unggul apabila berada di kedudukan teratas sejak terjunan pertama manakala Kanada dan Malaysia terikat di tempat kedua sehingga aksi kedua.
Pada terjunan ketiga, gandingan Malaysia tercicir satu tangga sebelum melonjak ke tangga kedua dalam dua terjunan terakhir.
Pandelela, dalam penampilan keduanya di temasya Olimpik, berkata pingat perak itu mampu menyuntik moral kontinjen negara yang terdiri daripada 32 atlet.
"Kami berdua bangga dapat menyumbang pingat pertama Malaysia di Rio," kata Pandelela, 23, yang berasal dari Bau, Sarawak.
Jun Hoong, 26, pula berkata pingat perak itu menebus kekecewaannya setelah terlepas pingat dalam acara 3m papal anjal seirama berganding dengan Nur Dhabitah Sabri pada Ahad lepas.
"Saya mengingatkan diri untuk melupakan apa yang berlaku dalam acara 3m papan anjal seirama itu dan memberikan tumpuan kepada acara 10m platform.
"Setiap hari adalah hari yang baharu dan saya dapat memberikan tumpuan kepada acara 10m platform ini," katanya.
Pingat perak tersebut pasti menyuntik semangat tambahan buat kedua-dua atlet itu untuk memburu pingat seterusnya dengan Pandelela akan beraksi dalam acara kegemarannya 10m platform individu pada 17 Ogos manakala Jun Hoong akan kembali ke kolam terjun pada Jumaat ini.
Sumber
Pandelela-Jun Hoong Sumbang Pingat Pertama Di Rio
Reviewed by Unknown
on
12:35:00
Rating:
No comments: