Anne Ngasri curi masa untuk berlakon


KEKANGAN masa dan tanggungjawab sebagai ibu membuatkan pelakon genit, Anne Ngasri lebih selesa memberi keutamaan kepada keluarga.

Bagaimanapun ujar Anne, dalam masa sama, dia juga berat meninggalkan kerjaya lakonan yang sudah diceburi sejak berusia empat tahun lagi.

Justeru, demi berlaku adil kepada diri sendiri dan keluarga, Anne terpaksa 'mencuri masa' untuk berlakon apabila ada kelapangan.

"Kalau orang kenal saya, saya memang hadkan karier lakonan apabila mendirikan rumah tangga. Lagi pula sekarang saya sudah ada empat anak yang masih kecil, jadi mereka lebih perlukan saya.

"Dek kerana itulah saya hanya memilih tawaran tertentu saja. Kalau gian sangat nak berlakon, kadang kala saya menyelit dalam drama terbitan syarikat produksi yang diusaha bersama Darling (ketawa).

"Tapi untuk meninggalkan terus karier ini rasanya susah sikit kerana saya anggap ia sebagai satu hobi," katanya yang masih kekal cantik pada usia 32 tahun.

Anne mendirikan rumah tangga dengan Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012. Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki, Sufi Harraz yang kini berusia tiga tahun.

Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 11, Abdul Wafri, 8, dan Nazharah Afrozah, 6.

Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim,12, hasil perkahwinan terdahulunya.

Tambah Anne, dia sangat bersyukur apabila suaminya sangat menyokong apa yang dilakukan dan tidak pernah meletakkan sebarang had dan syarat.

"Sebagai orang yang sudah dewasa dan berkahwin, saya sendiri letak had dalam karier saya.

"Tetapi saya tidak kisah bawa watak apa, asalkan tawaran tersebut boleh ikut masa saya.

"Saya tak mahu menerima apa sahaja tawaran dan akhirnya menyusahkan pihak produksi. Saya tak suka letak hal anak sebagai alasan dalam bekerja," ujarnya.

Anne yang tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Filem Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) mengakui terkejut dengan pencalonan itu.

Ujar Anne, dia menjalani penggambaran filem Love, Supermoon yang asalnya diberi judul Pengapit dan menyangka filem tersebut tidak akan ditayangkan.

"Bagi saya, filem Love Supermoon beri banyak kejutan pada saya. Apabila saya tercalon di FFM28, lagilah saya terkejut.

"Apa pun saya bersyukur dengan pencalonan ini dan berterima kasih kepada juri kerana memilih saya," katanya.

Anne Ngasri curi masa untuk berlakon Anne Ngasri curi masa untuk berlakon Reviewed by Unknown on 11:08:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.