Watson Tidak Jangka Rekod Pecutnya Lebur Di Sarawak
KUCHING: Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek mengakui tidak menyangka pelari muda, Khairul Hafiz Jantan mampu meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun miliknya di negeri kelahirannya.
Walaupun sedar atlet kelahiran Melaka itu mampu mencatat keputusan baik selepas melihat aksi awalnya, Watson tetap terkejut rekod 10.30 saat yang begitu lama miliknya dipadamkan di Sarawak.
"Selepas melihat aksi separuh akhir pagi Rabu, naluri saya menyatakan dia semakin kuat dan boleh meraih emas. Tetapi tidak jangka dia akan pecahkan rekod.
"Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pencapaiannya kerana ada generasi baharu yang semakin meningkat dari segi prestasi," katanya seperti dipetik sebuah stesen televisyen.
Khairul Hafiz pada Rabu muncul manusia terpantas negara ini apabila menamatkan larian 100m Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Stadium Sarawak di sini, dalam masa 10.18s.
Ia sekali gus mengatasi rekod 10.30s milik Watson yang dicatatkan pada Kejohanan Sukan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pingat perak milik pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.36s, manakala Badrul Hisyam Abdul Manap, juga mewakili Melaka, yang turut mencatat masa 10.36s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan 'photo-finish'. - BERNAMA
Watson Tidak Jangka Rekod Pecutnya Lebur Di Sarawak
Reviewed by Unknown
on
08:33:00
Rating:
No comments: