Serpihan Dijumpai Sah Milik MH370 : DS Najib


PETALING JAYA: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac 2014 akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.
Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.
"Sejak kehilangan selama 515 hari lalu, saya dengan berat hati mengesahkan hasil siasatan pasukan pakar antarabangsa bahawa serpihan yang ditemui itu milik MH370. Kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.
"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses siasatan dan membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang menyedihkan tetapi akhirnya ia dapat merungkai nasib 239 penumpang dalam pesawat itu," katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Najib berkata, kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan apakah punca sebenar kehilangan pesawat MH370.
"Dengan semangat satu bangsa, Malaysia pastinya akan mengingati insiden MH370," katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.
Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.
Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 - pesawat yang sama seperti MH370," katanya.
Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.
Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.
Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.
Serpihan Dijumpai Sah Milik MH370 : DS Najib Serpihan Dijumpai Sah Milik MH370 : DS Najib Reviewed by Unknown on 08:58:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.