Ayu Raudhah kini hamil anak kedua
KALI terakhir Ayu Raudhah beraksi di depan kaca televisyen adalah sekitar bulan Ogos lalu untuk telefilem Aidifitri berjudul Tiba Masanya bergandingan bersama Azhan Rani dan Ezlisa Loy.
Bagaimanapun, adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu kembali menyepi dan hanya memperuntukkan waktu menguruskan rumah tangganya bersama suami, Zaquan Adha dan anak lelakinya, Muhammad Aisy Qaiser yang berusia sembilan bulan.
Bertemu wanita ini pada majlis pernikahan selebriti Rozita Che Wan dan Zain Saidin di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ayu menjelaskan dia sedang berehat untuk memberikan tumpuan terhadap keluarga.
Dalam pada itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan, 29, berkongsi berita gembira bahawa dia kini hamil anak kedua yang sudah empat bulan dalam kandungan. Ikuti temu bual bersama pelakon ramah ini:
Kosmo!: Adakah Ayu merancang untuk berhenti daripada dunia lakonan dan terus menguruskan keluarga?
AYU RAUDHAH: Sebenarnya, saya tidak pernah berniat untuk berhenti. Bagaimanapun, buat masa sekarang saya akan memberikan tumpuan untuk keluarga dan membesarkan anak saya terlebih dahulu. Lagipun, ketika terlibat dengan penggambaran pada bulan Ogos lalu, saya terpaksa meninggalkan dia dan berulang-alik setiap hari dari Kuala Lumpur ke Seremban, Negeri Sembilan. Kasihan juga untuk produksi yang terpaksa mengikut jadual penggambaran saya yang tidak boleh meleret sampai lewat malam.
Mungkin Ayu ada perancangan untuk membesarkan keluarga?
Ya, Alhamdulillah saya sekarang sedang hamil empat bulan. Jantina anak belum tahu lagi, tapi saya berharap kali ini agar dapat anak perempuan memandangkan anak sulung saya lelaki. Ini rezeki Allah, saya dan suami tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat dalam masa terdekat.
Ada Ayu mengalami alahan sepanjang beberapa bulan awal kandungan?
Saya tidak tahu pun pada mulanya saya hamil sehinggalah kitaran haid saya berhenti pada bulan pertama. Saya kemudian membuat pemeriksaan di klinik. Sewaktu hamil anak pertama, saya mengalami alahan, tapi kali ini tiada yang ekstrem atau benda pelik-pelik berlaku kepada saya. Bagaimanapun, saya kira ia beralih kepada suami saya kerana dia yang mengalami muntah-muntah dan pening-pening.
AYU memberitahu, suaminya, Zaquan Adha mengalami alahan muntah dan pening-pening sepanjang dia hamil.
Bagaimanakah reaksi mentua anda apabila dimaklumkan bakal mendapat seorang lagi cucu?
Terkejut, tapi mereka gembira. Seperti kata orang tua-tua, beranak ramai-ramai ketika muda kerana apabila sudah tua tidak perlu fikir banyak perkara, cuma tinggal membesarkan anak-anak.
Komen anda apabila timbul desas-desus kembar suami anda, Aidil Zafuan sudah ada kekasih baharu selepas bercerai. Adakah anda sendiri pernah berjumpa dengan individu itu atau mungkin orang dalam industri hiburan?
Saya tidak mahu komen, maaf. Bukan serik tapi saya tidak mahu apa-apa kenyataan keluar daripada mulut saya. Sejarah lalu pun sudah banyak mengajar saya. Kadang-kadang kita tidak berniat negatif tapi apabila keluar kenyataan orang anggap sebaliknya.
Beralih kepada majlis pernikahan kakak anda, Rozita Che Wan dan Zain Saidin. Sebagai insan paling rapat dengan Rozita apakah yang dapat anda simpulkan tentang mereka?
Majlis ini adalah yang paling dinanti-nantikan sebab semua tahu dia seorang yang popular dan kaya, tapi tiada kebahagiaan dalam rumah tangga. Sebelum berkahwin kami rapat, tapi apabila saya mendirikan rumah tangga dia menjadi sunyi dan mencari pasangan yang sesuai. Saya tumpang gembira untuk pasangan Rozita dan Zain.
Sepanjang mengenali Zain Saidin, apakah peribadi Zain yang anda fikir telah mampu mencairkan hati Rozita?
Zain seorang yang bersungguh-sungguh dan akan dapatkan Kak Ta (Rozita) walau apa cara sekali pun. Walau apa orang kata, dia tetap menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya kami sekeluarga tidak tahu bila mereka mula bercinta sehingga Kak Ta memberitahu kami dia mahu berkahwin dengan Zain. Apabila terlalu banyak gosip mengaitkan dia dengan ramai lelaki, kami sekeluarga menjadi lali dan tidak ambil pusing.
Adakah perkahwinan Rozita dan Zain lambang kejayaan terhadap semua tohmahan yang dilemparkan sebelum ini?
Ya, kejayaan dan dugaan. Apabila berkahwin masalah tidak dapat selesai secara total. Perjalanan masih jauh dan saya berharap mereka lebih kuat. Orang sekeliling tidak akan berpuas hati.
Sumber
Ayu Raudhah kini hamil anak kedua
Reviewed by Unknown
on
09:40:00
Rating:
No comments: