Sharnaaz dan Uqasha tak salah : Pekin
DEMIKIAN ucapan pertama yang muncul dari Pekin sebaik saja kontroversi percintaannya bersama Uqasha Senrose yang turut mengheret nama Sharnaaz Ahmad menjadi perhatian ramai.
Memohon maaf di atas kekhilafannya, pelakon Paku Pontianak ini berharap kekeruhan yang berlaku antara mereka bertiga segera berakhir.
“Saya minta maaf kepada banyak-banyak, termasuk Uqasha, keluarga dan Shar (Sharnaaz). Kami dah duduk berbincang dan semua ini hanyalah salah faham,” katanya yang mengakui terburu-buru menuduh kecurangan kekasihnya bersama sahabat baiknya, Sharnaaz.
Sebelum ini, Pekin memutuskan hubungan dengan bakal isterinya itu gara-gara cemburu dengan sahabatnya sendiri.
Katanya, perkara itu berlaku di luar kawalan apabila ada beberapa pihak yang menokok tambah dan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.
“Saya tahu ini salah saya. Namun ada satu sumber yang banyak melaporkan perkara tak betul.
“Pada mulanya, apabila saya dapat tahu Uqasha berjumpa dengan Shar, saya sangat marah dan terus membuat tindakan yang tak sepatutnya. Saya tak jawab panggilan dan terus buat persepsi sendiri.
"Saya rasa kalau berlaku pada orang lain sekalipun, pasti mereka akan marah bila keluar dengan orang lain atau kawan kita sendiri," jelasnya.
Pekin berkata, apabila dia tahu perkara sebenar dia sedar tindakan melulunya membuatkan semua orang kecewa.
“Tapi bila kita semua dah duduk berbincang, selesai masalah secara baik, saya bersyukur segalanya jernih dan semuanya telah selesai.
“Saya akan lebih hati-hati selepas ini. Saya akui mulut saya seperti longkang dan tidak menerima penjelasan sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya.
Kejutan hari jadi
Bercerita lanjut mengenai salah faham yang berlaku, kata Pekin, dia tidak menyangka Sharnaaz dan Uqasha bertemu atas tujuan untuk merancang parti hari jadinya.
“Saya dah lama berkawan dengan Shar. Jadi, apabila dapat tahu Shar merancang parti hari jadi untuk saya, nyata sangkaan saya meleset.
"Saya harap apa yang berlaku tak akan berulang lagi dan saya akan menjaga hubungan persahabatan saya dengan Shar. Saya juga terharu dan tak sabar menunggu apakah kejutan yang dirancang mereka," katanya yang terharu dengan tindakan teman baiknya dan Uqasha itu.
Jelas Pekin, dia turut kesal kerana menuduh kekasihnya tanpa usul periksa.
“Saya mengakui, Uqasha tidak pernah berlaku curang terhadap saya, Cuma mungkinlah saya terlalu panas hati dan membuat penilaian sendiri tanpa usul periksa. Bila berlaku seperti ini saya juga sangat menyesal,” katanya yang mengakui hubungannya bersama Uqasha kini pulih seperti biasa.
Kahwin tahun hadapan
Pekin juga memberitahu akan berbincang selanjutnya bersama Uqasha untuk menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada tahun hadapan.
“Insya-ALLAH, selepas ini saya akan berbincang tentang perkahwinan kami.
“Yang pentingnya, ia mestilah disegerakan dan kalau boleh tahun hadapan, selesai segala persiapan perkahwinan,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sengaja mencetuskan kontroversi untuk menangguhkan perkahwinannya itu, Pekin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Jelas Pekin, dia memang serius dengan Uqasha dan nekad untuk mengahwini wanita itu.
“Kahwin bukan perkara main-main. Banyak perkara perlu difikir dan diselesaikan. Lagi pula, jadual kerja saya yang padat menyebabkan masa berlalu begitu cepat,” katanya.
Sumber
Sharnaaz dan Uqasha tak salah : Pekin
Reviewed by Unknown
on
08:59:00
Rating:
No comments: