Peluang kedua untuk Beego


Fokus Beego memperkasakan semula karier lakonan dan menggalas tanggungjawab sebagai suami

Pernah berdepan episod hitam yang hampir memusnahkan reputasinya, peluang kedua yang diberikan Tuhan dimanfaatkan Beego untuk membersihkan semua daki yang nyaris meragut kepercayaan peminat terhadapnya.
Enggan berpaling, Beego, 32, menyusun semula langkahnya kerana tidak mahu mempersiakan peluang keemasan yang membentangkan ruang besar untuk memacu dirinya ke puncak.


Fokus Beego atau nama penuhnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah ketika ini adalah memperkasakan semula karier lakonannya, apatah lagi kini dia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bakal menimang cahaya mata sulung.

Suami kepada pelakon, Linda Hashim ini enggan lagi lemas diulit populariti kosong sebaliknya dia sentiasa mencabar diri untuk terus menggali kemampuannya sebagai pelakon.

Mendaki populariti bersama kumpulan Phyne Ballerz, seterusnya menempa nama sebagai pelakon menerusi siri popular, Puteri, Beego akur ada ketika dirinya tidak dapat lari daripada belenggu watak stereotaip.

“Kebanyakan watak ditawarkan hampir sama, cuma satu dua drama yang membekas kepuasan seperti Kerana Rotan yang menuntut kekuatan dalaman.
“Sebagai pelakon, saya bersedia melakukan apa saja untuk memastikan watak diberi hidup dan meninggalkan kesan.

“Kebelakangan ini kebanyakan pelakon popular kerana keberkesanan mereka membawa watak jahat. Ia seperti menjadi satu trend, membuatkan saya tidak menolak jika terus disogok watak antagonis.

“Secara peribadi, saya tidak terlalu memilih sebaliknya terus mencari watak yang mampu menonjolkan saya sebagai pelakon berkarakter.

“Andai terus diberi ruang untuk meneroka kepelbagaian watak, saya bersedia melakukannya kerana saya mencari kepuasan dalam kerjaya yang diceburi,” katanya.

Ditemui ketika penggambaran drama berantai, Pulang Sayang terbitan Bright Network Sdn Bhd, baru-baru ini, Beego sedar penonton sedang menilai perbezaan yang cuba dilakukan dalam setiap watak yang dijayakannya.

Disebabkan itu katanya, dia cuba mencari sisi baru dalam setiap watak yang dibawa supaya penonton tidak lemas dalam permainan karakter yang sama.

“Alhamdulillah kerana pengarah tidak terus meletakkan saya sebagai pelakon antagonis. Saya mula nampak perubahan itu.

“Drama berantai, Mencintai Mu yang sedang ditayangkan di RTM adalah antara contoh saya menguji diri untuk keluar daripada keselesaan itu.

“Sama seperti Pulang Sayang yang sedang menjalani penggambaran, permainan karakter yang dibawa tidak jauh berbeza.

“Di sini kreativiti saya sebagai pelakon diuji kerana saya perlu membawa karakter itu keluar daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Setiap pelakon perlu berusaha mencari kelainan kerana jika penonton berjaya mengesan persamaan, itu bermakna kita gagal meneroka dan menggali watak yang ditawarkan lebih mendalam,” katanya.

Beego berkata, pelakon yang matang juga harus memahami permainan emosi dan watak gandingan supaya penonton dapat melihat kepelbagaian karakter.

“Drama ini agak mencabar kerana penonton disajikan dengan permainan emosi. Jadi saya perlu bijak mencari keseimbangan untuk memberikan warna terhadap watak yang dibawakan,” katanya.

Lebih hargai hidup

Bergelar suami pada 7 Jun lalu, Beego menghargai setiap detik yang dilaluinya terutama apabila isterinya disahkan hamil anak pertama.

Meskipun berita itu diterima ketika mereka masih menikmati detik berbulan madu, Beego berkata, dia sedia melakukan apa saja untuk tidak mensia-siakan pengorbanan besar isterinya.

Kesudian Linda menerima lamaran ketika dirinya berdepan dugaan berat dengan kontroversi yang menjejaskan nama baiknya, menyentuh perasaan Beego.

“Ketika sebahagian besar masyarakat menghukum dan hanya melihat sisi negatif diri saya, isteri pula bersedia menerima kekurangan.

“Dia yakin dan percaya dengan kejujuran saya. Itu yang saya cuba pertahankan kerana Linda sudah terlalu banyak berkorban untuk kebahagiaan kami berdua,” katanya.

Bercerita mengenai keadaan dirinya yang berbadan dua, Beego mengakui teruja mempelajari pelbagai perkara baru sejak hidup bersama Linda.

“Tidak mudah menyatukan dua jiwa berbeza tetapi perlu mencari persamaan dalam melayari bahtera supaya tidak karam di pertengahan jalan.

“Banyak hal yang menuntut tolak ansur, terutama apabila Linda berbadan dua. Melihat dirinya berdepan alahan dan ada kala hanya mampu terbaring, membuat hati saya tersentuh.

“Saya tidak merungut apabila terpaksa melakukan kerja rumah. Bagi saya itu bukan masalah besar kerana yang penting, kebajikan isteri dan kesihatan anak yang dikandung tidak terabai,” katanya.

Sumber
Peluang kedua untuk Beego Peluang kedua untuk Beego Reviewed by Unknown on 07:14:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.