Batu Hajar Aswad Super Conductor?


Beberapa hari lepas saya terbaca satu ‘fakta ajaib’ berkenaan dengan Kaabah dan Hajar Aswad. Ia tersebar dengan agak meluas melalui media-media sosial seperti Facebook, WhatsApp, blog-blog, dan lain-lain. Sebaran tersebut adalah seperti berikut:

    NY Times menulis:
    “Sekiranya orang-orang Islam berhenti melaksanakan tawaf ataupun solat di muka bumi ini, nescaya akan berhentilah putaran bumi kita ini”
    Ini adalah kerana pusingan dari Super Konduktor yang berpusat di Hajar Aswad, tidak lagi memancarkan gelombang elektromagnetik.”
    Menurut hasil penelitian dari 15 University:
    Hajar Aswad adalah batu meteor yang mempunyai kadar logam yang sangat tinggi, iaitu 23,000 kali dari baja yang ada.
    Beberapa astronout yang berada di angkasa melihat suatu sinar yang teramat terang memancar dari bumi dan setelah diteliti ternyata ia bersumber dari Bait Allah atau Kaa’bah, Mekah.
    Super konduktor itu adalah Hajar Aswad, yang berfungsi umpama mikrofon yang sedang menyiarkan gemanya dan dimana jarak yang dilontarkan mencapai ribuan million jangkauan siarannya.
    Prof Lawrence E Yoseph – Fl Whiple menulis:
    “Sungguh kita berhutang besar kepada orang Islam.
    Solat, tawaf dan dilakukan mengikut ketepatan waktu telah menjaga Super Konduktor itu.”
    Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Illahaillallah, Allahu Akbar. Betapa bergetar hati kita melihat dahsyatnya gerakan Tawaf Haji dan Umrah.
    Sekarang anda mempunyai 2 pilihan.
    i) Biarkan superb info berada di page ini supaya orang lain tidak membaca.
    ii) menyebarkan ke Teman yang lain dengan klik ‘fowardkan’ supaya orang lain dapat ikut terinpirasi “Subhanallah“

Komentar saya tentang ‘fakta’ tersebut adalah seperti berikut:

1) Adalah suatu yang disepakati oleh sekalian orang Islam bahawa peredaran langit dan bumi adalah sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah Taala. Dialah yang menciptakan bumi dan Dialah yang mengkehendaki ia beredar dan berputar menurut hukum alam.

Firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ يُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ أَنْ تَزُولَا وَلَئِنْ زَالَتَا إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِنْ بَعْدِهِ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Fatir: 41).

2) Mengaitkan faktor atau sebab tertentu dalam peredaran bumi memerlukan kepada pembuktian hujah. Sesiapa yang mendakwa bahawa bumi ini beredar dan berputar selagi mana Kaabah yang terletak padanya Hajar Aswad ditawaf, dan ia akan berhenti berputar jika Kaabah tidak ditawaf, hendaklah membuktikan kata-katanya dengan hujah. Kerana dalam disiplin ilmu syarak, mengaitkan suatu faktor atau sebab perlulah dibuktikan melalui ilmu.

Kaedah dalam mengaitkan faktor atau sebab adalah, “Tidak harus mempercayai bahawa sesuatu perkara adalah sebab kepada sesuatu kecuali dengan berdasarkan ilmu. Sesiapa yang menetapkan suatu sebab tanpa berdasarkan ilmu atau secara menyalahi syarak, maka dia melakukan kebatilan”. (Majmu’ Fatawa: 1/104).

3) Dari sudut syarak, tidak ada nas -setakat pengetahuan saya- yang mengaitkan peredaran bumi dengan perlakuan tawaf di Kaabah dan kewujudan Hajar Aswad di sana.

Malah terdapat hadis yang mengkhabarkan bahawa pada akhir zaman Kaabah akan dirobohkan dan selepas itu ia tidak lagi diimarahkan. Tidak kedapatan pula sebarang isyarat bahawa ketika itu bumi akan berhenti berputar seperti kebiasaan.

4) Dari sudut sejarah, yang dapat dipastikan ialah Kaabah mula-mula dibina oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam. Bererti sebelum baginda bersama-sama dengan puteranya Ismail membina Kaabah, manusia belum lagi mengenal di mana Kaabah apatah lagi mengimarahkan Kaabah dengan solat dan tawaf.

Jika mengambil pandangan sesetengah ahli riwayat bahawa Kaabah mula dibina oleh Adam Alaihissalam, kewujudan bangunan Kaabah adalah untuk satu tempoh tertentu sahaja kerana ia lenyap daripada muka bumi ketika berlakunya taufan besar pada zaman Nabi Nuh Alaihissalam. Kemudian ia tidak diimarahkan sehinggalah Allah menunjukkan kepada Nabi Ibrahim tapak Kaabah untuk ia dibina semula.

Ketiadaan manusia yang mengimarahkan Kaabah dengan tawaf dalam tempoh yang panjang tersebut, sepatutnya membawa kepada terhentinya putaran bumi, menurut ‘fakta’ di atas. Tetapi ia tidak berlaku.

5) Mengaitkan Hajar Aswad dengan ‘keajaiban’ yang didakwa juga amat melucukan. Memang benar Hajar Aswad adalah batu yang mulia, yang mempunyai kisah dan sejarah yang tersendiri dalam Islam. Namun, sejarah mencatatkan bahawa Hajar Aswad pernah dicuri dan dilarikan daripada Kaabah oleh kaum Qaramitah ke negara mereka selama 22 tahun iaitu dari tahun 317H – 339H.

Dalam tempoh yang lama tersebut, tidak ada Hajar Aswad di Kaabah kerana ia dilarikan oleh Qaramitah ke tempat mereka, dan pernah dibawa ke Kufah serta digantung di sana.

Dalam tempoh 22 tahun tersebut, pernahkah kita mendengar cerita bumi ini berhenti berputar kerana Super Konduktor yang berpusat di Hajar Aswad, tidak lagi memancarkan gelombang elektromagnetik, kerana tidak ada manusia yang mengelilinginya?

Jelas sekali bahawa dakwaan di atas adalah rekaan semata-mata, tidak bersandarkan kepada syarak, sejarah, akal dan kenyataan. Orang Islam tidak sepatutnya mudah percaya dengan fakta karut marut seperti yang di atas. Saya mengesyaki bahawa ia ditulis dengan tujuan memperbodohkan pemikiran orang Islam.

Wallahu A’lam.

Abu Umair.

28 Jun 2013.

Sumber
Batu Hajar Aswad Super Conductor? Batu Hajar Aswad Super Conductor? Reviewed by Unknown on 11:41:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.