Susulan Kejadian Belon Meletop, Penjual belon pun kena tempias


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri melarang penggunaan belon untuk hiasan atau gimik dalam setiap acara rasmi.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya juga sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memeriksa penjual belon di tempat kunjungan ramai.
Menurutnya, ini untuk memastikan sama ada penjual belon menggunakan gas yang boleh menyebabkan kebakaran atau sebaliknya.
“Saya sudah memperoleh laporan daripada Jabatan Kesihatan negeri berhubung kejadian letupan belon di Dataran Batu Buruk yang menyebabkan 31 cedera.
"Kita juga sedang tunggu laporan polis berhubung perkara ini. Buat masa ini, kerajaan negeri melarang penggunaan belon dalam acara rasmi.
“Apabila laporan siasatan selesai, kita akan buat keputusan sama ada membenarkan atau melarang terus penggunaan belon dalam acara rasmi kerajaan negeri," katanya selepas melawat tujuh mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan membantu mangsa kejadian berkenaan terutama kanak-kanak.
"Kita akan lihat dulu keperluan membantu mereka yang kebanyakannya anak kakitangan Jabatan Kesihatan negeri, terutama dari segi trauma atau mengalami kecederaan menyebabkan ada parut kekal," katanya.
Di Georgetown Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, penggunaan belon berisi gas helium akan dikawal bagi mengelak kejadian berulang.
“Kita kesal. Kita akan duduk berbincang dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.”
Beliau berkata demikian di mesyuarat MIC, hari ini.
Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, 31 orang termasuk kanak-kanak cedera selepas belon berisi gas meletup.
Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak yang juga peserta 'Walk For The Blind' yang diadakan sempena Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Negeri, di Pantai Batu Buruk, Kuala Teregganu.

Susulan Kejadian Belon Meletop, Penjual belon pun kena tempias Susulan Kejadian Belon Meletop, Penjual belon pun kena tempias Reviewed by Unknown on 11:33:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.