Bekas Suami Elly Mazlein Dedahkan Bekas Isterinya Seorang yang Kuat Cemburu
KUALA LUMPUR: Selepas tidak tahan dengan pelbagai tuduhan dibuat Elly Mazlein, pengarah drama Azmi Hatta akhirnya tampil mendedahkan penceraian dia dengan penyanyi itu kerana sikap cemburu Elly yang melampaui batas.
Azmi atau nama sebenarnya Azmi Mohd Hata, 41, berkata, sikap tersebut juga membuatkan dia berubah hati terhadap pelakon wanita itu sehingga dia mengambil jalan untuk berpisah.
"Elly seorang yang terlalu kuat cemburu orangnya, awal hubungan kami bercinta lagi sudah timbul konflik cemburu kerana dia menuduh saya berlaku curang dengan pelakon yang menjayakan drama saya.
"Hampir semua projek drama yang saya arahkan menjadi isu pertengkaran kami, selagi ada watak perempuan lebih cantik dan seksi pasti saya akan dituduh curang.
Azmi ditemui pada sidang medianya di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada Selasa bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit tentang perceraiannya dengan pelakon Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36.
Pengarah itu turut ditemani peguamnya, Mohd Fadly Hashim.
Dalam sidang media berkenaan, Azmi turut menunjukkan akuan bersumpah setebal kira-kira 20 muka surat yang mendedahkan kemelut rumah tangga yang dilaluinya bersama Elly Mazlein.
Pasangan ini berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika wanita itu hamil empat bulan.
Antara kandungan akuan bersumpah itu turut menceritakan pertengkaran demi pertengkaran berlaku antara Azmi dan Elly sehinggalah Elly melemparkan kata-kata kesat termasuk melakukan kekerasan terhadap Azmi dalam tempoh mereka berkahwin.
"Kami tidak henti bertengkar, dia melemparkan kata-kata kesat biarpun saya sudah bersumpah dengan nama Allah (terhadap sesuatu perkara).
"Baju saya ditarik sehingga koyak, Elly juga menumbuk, memukul malah sampai tahap sepak terajang saya di dalam kereta ketika dia datang menyerang di lokasi semata-mata cemburukan Nelydia," ujarnya.
Katanya lagi, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah selepas jalan itu difikirkan paling terbaik dan dicadangkan sendiri oleh bapa Elly.
"Bapa Elly sendiri mencadangkan kami berpisah dan Elly bersetuju kami berpisah secepat mungkin. Selesai perbincangan itu Elly pantas mengambil kain baju saya lalu meletakkan di luar pintu rumah. Sejak itu saya jarang berhubung dengan Elly," ujarnya.
Sementara itu, ditanya soal penjagaan anak, Azmi berkata dia akan bertemu anak perempuannya itu jika Elly berubah sikap dan menerima kenyataan.
"Saya harap dia berubah dan tidak melakukan provokasi atau menyindir saya sehingga saya berasa tidak senang untuk melawat anak saya," ujarnya.
Pengarah itu sebelum ini, pernah berumahtangga dengan seorang wanita Wan Zolofia Wan Kassim dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Sumber
Bekas Suami Elly Mazlein Dedahkan Bekas Isterinya Seorang yang Kuat Cemburu
Reviewed by Unknown
on
07:49:00
Rating:
No comments: