Norman Hakim Lebih Utamakan Persediaan Sekolah Anak
PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim mengakui sebagai bapa keperluan anak-anak untuk menghadapi persekolahan akan diberi keutamaan setiap kali semester baharu bermula.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 37, berkata, dia akan memperuntukkan sejumlah bajet dalam memberi semangat kepada anak-anaknya memulakan sesi persekolahan.
"Selain Hari Raya dan bercuti, persiapan untuk masuk persekolahan juga antara yang perlu diambil kira kerana ia dapat memberi semangat untuk mereka ke sekolah.
"Biarpun ada baju atau kasut yang boleh dipakai lagi tapi kebiasaannya mereka mahu yang baharu untuk ke sekolah. Pada saya itu adalah lumrah bila jadi bapa, keperluan untuk diri kita sudah jatuh nombor tiga dan kita bekerja pun adalah untuk mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Vector 58, di Hotel Royale Bintang, di sini, Selasa.
Jelas Norman, ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan bersama pelakon Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5 sudah bersekolah.
Biarpun sibuk bekerja, dia tidak pernah mengabaikan dan mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan pelajaran anak-anaknya.
"Mereka bersekolah di sebuah sekolah swasta, kebiasaannya memang sampai petang sebab ada sekolah tahfiz sekali sebelah petang.
"Bagi saya sebagai bapa bukan hanya beri keperluan pendidikan tetapi penting untuk ambil tahu dan bertanya kepada mereka sendiri tentang masalah di sekolah," katanya.
Sementara itu, Norman yang membawa watak bekas perisik dalam drama Vertor 58menganggap cabaran utama adalah untuk berimaginasi bertarung dengan robot.
"Drama ini merupakan lakonan pertama saya yang perlu berimaginasi untuk berlawan dengan sesuatu yang tidak ada depan mata.
"Ia satu pengalaman yang baik untuk saya dan bekerja dengan tenaga produksi baharu yang sangat komited dengan kerja mereka," katanya.
Selain itu, tambah Norman, dia kini sibuk dengan penggambaran drama Gerak Khasmusim baharu.
Vertor 58 akan disiarkan setiap Sabtu bermula 7 Disember pada pukul 5.30 petang di TV9.
Norman Hakim Lebih Utamakan Persediaan Sekolah Anak
Reviewed by Unknown
on
09:47:00
Rating:
No comments: