Benjy: Maafkan ibu, halalkan segalanya


NAMA Azean Irdawaty Yusoef, 63, bukanlah satu nama asing dalam industri seni tanah air kerana bakat seni yang dimiliki  berjaya meninggalkan kesan yang mendalam buat peminatnya.

Terkenal dengan gaya rambut Farrah Fawcett Malaysia sekitar 1980-an ini, Azean juga pernah menggoncangkan dunia  dengan dialognya, “Lihatlah dunia, aku anak wayang...” tatkala memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 1980.

Bukan ucapan yang bermegah-megah, sebaliknya Azean mahu membuktikan 'anak wayang' sepertinya juga mampu berjaya dan membuka mata ramai pihak yang memandang rendah terhadap kerjaya seni itu.

Bagaimanapun, malam kelmarin industri seni dikejutkan dengan berita pemergian Azean yang menghembuskan nafas terakhir jam 8.25 malam, ketika sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Allahyarhamah yang sebelum ini disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Jun 2007 turut menderita pelbagai komplikasi sejak lapan tahun lalu.
Ternyata pemergiannya meninggalkan kesan buat peminatnya kerana pelakon itu tidak dapat mengubat penyakit yang dihidapinya disebabkan kos rawatan yang sangat tinggi, sehingga mencecah RM9,000 sebulan.

Malah, sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau dilaporkan dua hari tidak mahu menjamah makanan.

Anak sulung Allahyarhamah, pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim  atau Benjy yang ditemui pada upacara pengebumian, reda dengan pemergian ibunya itu. Tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya, Benjy bagaimanapun sempat membuat permintaan kepada semua orang yang mengenali ibunya.

“Saya terima pemergiannya. Cuma maafkan kesalahan ibu dan halalkan segala yang berkaitan dengannya,” katanya yang berada di sisi ibunya di saat-saat terakhir pemergian Allahyarhamah.

Selain Benjy, dua lagi adik-beradiknya, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty, serta bapanya, Khairil Anwar Z.M Rashidi turut bersama.

Jenazah Azean disembahyangkan di Masjid Ma’Muriah, Kampung Kayu Ara dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Petaling Jaya, pada jam 12.15 tengah hari, semalam.

Selain ahli keluarga, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah rakan Allahyarham seperti Datuk Aziz Sattar, Datin Shuhaimi Baba, Datin Rosnani Jamil, Datuk Zulkifli Zain, Datin Normala Omar, Zizie Zulkifli, Melissa Saila, Ellie Suriati, Shasha Elite, Ako Mustapha, Yusmal Ghazali, Amir Muhammad dan beberapa pelakon seangkatannya.

Kesedihan turut dikongsi oleh Aziz Sattar, yang pernah bekerja dengan Allahyarhamah sebelum ini.

Mengakui kehilangan seorang rakan baik dan rakan artis yang sangat berbakat besar, Aziz berkata, kehilangan Azean sukar dicari ganti.

“Azean seorang yang sangat disiplin dan sangat menjiwai watak yang dibawanya. Dia ada ciri-ciri pelakon seangkatan saya dahulu.

“Dia juga mempunyai sifat karismatik dalam dirinya yang menjadikan kehilangannya akan terus dikenang dalam industri perfileman negara,” katanya yang juga mengakui kesihatannya terganggu dan tidak berkesempatan untuk melawat Azean yang sedang kritikal sejak dua bulan lalu.

Bagi pelakon Ellie Suriati, kenangan bersama Allahyarham akan sentiasa menjadi saat manis untuk dikenang sampai bila-bila.

“Kita tahu, Allahyarham menderita lama, tapi dia seorang yang amat kental dan memiliki semangat yang kuat.  Selain banyak memberikan kejayaan dalam seni, dia seorang yang sangat komited dengan pekerjaannya,” katanya.

Sumber
Benjy: Maafkan ibu, halalkan segalanya Benjy: Maafkan ibu, halalkan segalanya Reviewed by Unknown on 13:47:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.