Rumahtangga : Tugas perempuan VS Tugas lelaki
Sekadar Hiasan |
MENURUT Sosiologi, Arlir Hochschild, ada satu istilah iaitu ‘shift kedua’ yang menggambarkan pekerjaan wanita perlu dilakukan di rumah dan di luar rumah.
Istilah ‘home sweet home’ pun susah dirasakan kerana selepas seharian bekerja di pejabat dan kembali di rumah, wanita masih perlu terus bertugas.
Berdasarkan laporan Bureau of Labor Statistic pada Jun tahun ini, ‘shift kedua’ masih menjadi masalah bagi wanita kerana hanya 20 peratus lelaki yang membantu kerja rumah seperti bersih-membersih dan mencuci pakaian.
Sebelum berumahtangga, pernahkan anda terfikir kehidupan shift kedua ini?
Bermula dengan kehidupan seorang isteri dan kehidupan seorang ibu? Siapa lebih sibuk? Suami? Isteri? Ayah? Ibu?
Sebaik saja bergelar isteri dan ibu, tanggungjawab wanita bertambah berlipat gandan. Mana nak urus rumahtangga, suami, anak-anak dan kemudian ditambah pula dengan tugasan di pejabat.
Letih? Suami patut fikirkannya!
Mari kita bandingkan jadual harian yang ringkas ini:
PAGI:
PEREMPUAN selalunya akan bangun awal sekitar jam lima atau enam sebab banyak kerja rumah perlu diselesaikan. Contohnya, kemas rumah, basuh baju, sidai baju, sarapan, siapkan anak ke sekolah atau hantar. Kemudian barulah ke pejabat.
LELAKI sebaik sedar dari tidur terus mandi dan bersiap-siap, kemudian sarapan dan terus pergi kerja.
WAKTU BEKERJA:
(9 Pagi Hingga 6 Petang)
PEREMPUAN terpaksa bertungkus lumus siapkan segala kerja yang ada. Kalau tak disiapkan, kerja akan bertimbun dan kerja rumah menunggu bila pulang nanti.
LELAKI juga bekerja keras untuk sara keluarga. Tapi yang seronoknya lelaki tak perlu nak fi kir hal dekat rumah bila pulang nanti.
PETANG:
PEREMPUAN habis waktu pejabat terus pecut pulang ke rumah sebab nak jemput anak dari sekolah atau nursery.
Setibanya di rumah ada kalanya sampai tak sempat tukar baju kerja, isteri dah mula tanak nasi di dapur. Lepas mandi mulalah tergesa-gesa ke dapur untuk sediakan makan malam untuk keluarga.
LELAKI pula ada yang berseronok mengisi masa petang dengan bersukan…main badminton lah, pingpong, tenis, futsal pun ada. Lepas tu pulang ke rumah mandi, rehat dan tunggu untuk makan malam.
MALAM:
Selesai saja menjamu selera bersama keluarga…
PEREMPUAN perlu mengemas dapur. Kalau menonton TV sekalipun, tangan masih lagi melipat baju sambil tengok anak-anak buat kerja sekolah. Dalam masa sama, perlu juga menggosok baju untuk hari esok. Jam 10 malam perlu tidurkan anak sebab esok nak sekolah.
LELAKI pula, lepas makan malan duduk tergedang tengok TV sambil baca akhbar. Kadang-kadang ada juga yang suka luangkan masa untuk online.
MASA UNTUK BERSAMA:
PEREMPUAN lazimnya sudah keletihan, mana taknya bayangkanlah non-stop dari pagi dah macam gasing. Asal letak kepala aje terus lena…
LELAKI pula kadang-kadang asyik pandai merungut si isteri asik tidur awal dan tak melayan kehendak batin katanya… Salah siapa???
KES 1 : Perang besar bila mengadu penat
Zalika, 34.
PERKAHWINAN adalah perkongsian hidup antara suami isteri yang bukan sahaja menuntut sikap tolak ansur dan bekerjasama kedua-dua belah pihak.
Malah lebih tepat lagi segala susah dan senang perlu dipikul bersama-sama.
Begitulah juga yang menjadi harapan saya sebaik mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suami yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi.
Namun apa yang diharapkan itu jauh tersasar sebaik sahaja memegang status isteri dan ibu.
Rutin saya berubah 360 darjah. Segala kerja rumah terpaksa bereskan sendirian, meskipun pada masa sama, saya turut bekerja bagi membantu meringankan bebanan ekonomi keluarga.
Saya bukan robot dan saya bukan seorang manusia yang tidak kenal erti penat.
Sudahlah seharian penat bekerja, pulang ke rumah terpaksa pula menyambung kerja-kerja memasak, mengemas, melayan anak-anak dan banyak lagi yang ada kalanya membuatkan saya terbeban dan menjejaskan emosi.
Sebelum berkahwin saya memang mempunyai pekerjaan dan mengimpikan untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa selepas berkahwin.
Namun ia ternyata suatu angan-angan kerana realitinya selepas bergelar isteri dan ibu, saya terpaksa membatalkan hasrat itu.
Saya perlu membantu meringankan beban suami dari sudut perbelanjaan rumahtangga yang saban hari saban meningkat.
Saya tak sampai hati membiarkan suami sendirian menanggung beban itu. Tapi sedihnya, setelah saya sendiri mengorbankan kepentingan diri demi membantu meringankan bebanan suami, sedangkan di sebelah pihak suami tidak pula berfikir seperti mana saya, dengan menyerah sepenuhnya tanggungjawab menguruskan rumahtangga kepada saya.
Lebih menyedihkan hati saya, ada kalanya tanpa sempat membuka pakaian kerja, saya terpaksa bergegas ke dapur untuk menyiapkan makanan untuk suami dan anak-anak.
Sedangkan suami pada ketika itu lebih memilih untuk bersantai dan menonton televisyen sementara menunggu makan malam, tanpa langsung rasa bersalah melihat diri saya umpama lipas kudung di dapur.
Ada kalanya saya agak sedih dan terkilan dengan sikap suami yang langsung tidak peduli dengan bebanan yang terpaksa saya ditanggung.
Selain penat di pejabat, saya terpaksa pula menyambung kerja-kerja rutin di rumah, malah tugas menghantar dan ambil anak di pusat asuhan juga diserah bulat-bulat kepada saya.
Itu belum lagi dikira dengan tugas-tugas lain di rumah termasuk membasuh kain, mengemas rumah, menggosok pakaian, semuanya di bawah 'bidang tugas-tugas khas' saya tanpa langsung dibantu oleh suami.
Sedihnya, apabila diminta membantu, tanpa rasa bersalah, tanpa perasaan suami mengatakan itu tugas seorang isteri.
Jangan harap untuk mengemas dapur dan meja sebaik selesai makan, apabila diminta menguruskan anak-anak ketika saya sibuk di dapur juga boleh mencetuskan pergaduhan dengan suami.
Jadi saya lebih rela menguruskan sendiri. Saya pernah berperang besar dengan suami sebelum ini gara-gara saya mengungkit penat dengan dua tugas yang terpaksa dipikul.
Itupun setelah saya menyuarakan pendapat agar suami turut membantu menguruskan rumah tangga dan memintanya faham situasi saya yang bekerja untuk meringankan bebannya.
Hati saya kadangkala memberontak kerana perkara ini. Ada kalanya saya terfikir untuk apa berkahwin andai tidak mampu berkongsi segala kesusahan dan kepenatan bersama.
Bukan tidak bersyukur dan bukan hendak menolak tanggungjawab, tapi saya yakin ramai isteri lain mengalami nasib serupa seperti saya.
Tempoh 24 jam sehari bagaikan tidak cukup untuk menguruskan segala keperluan suami dan anak-anak sehinggakan keperluan sendiri terabai.
Tapi disebabkan saya sendiri telah sebati dengan situasi ini, saya sudah alas untuk bertengkar dan meminta suami memahami kerana kesudahannya tetap sama.
Jauh dalam sudut hati saya berharap suatu masa nanti suami akan sedar tanggungjawabnya. Tidak banyak, sedikit pun memadai.
KES 2: Tidak pernah cuba bantu
Aisyah, 35.
BEBANAN yang dipikul bukan sahaja kepada tanggungjawab, tetapi situasi kewangan menjadi sangat meruncing bila suami tidak bekerja.
Bagi saya, suami seorang yang gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Apatah lagi dengan ketidaksediaannya untuk sama-sama membantu saya di rumah.
Sudahlah Suami tidak pandai mengemas rumah mahupun memasak, kalau sekadar itu saya faham. Tapi masalahnya dia tidak pernah cuba untuk ringankan beban saya. Saya tidak minta dia lakukan segala kerja yang lelaki tidak mampu lakukan.
Cukuplah kalau sekadar membantu menjaga anak-anak kami yang berusia tujuh dan lima tahun, sementara saya lakukan kerja rumah lain. Tapi, itu pun dia tak mahu.
Pulang dari bekerja, pasti tiada masa rehat bagi saya. Mana nak layan anak-anak, mengemas dan memasak untuk suami dan anak.
Saya sudah puas memberikannya pelbagai nasihat namun suami tidak pernah ambil peduli.
Malah, saya dipandang seperti sengaja mencari kesilapannya pula. Kadangkala, ia menjadi pencetus pergolakan rumah tangga kami apabila dia malas hendak melakukan sesuatu yang menyenangkan hati.
Dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah ibunya yang tinggal berhampiran kami berbanding menolong mengemas rumah.
Rutin harian saya bermula seawal jam 6 pagi sehingga waktu malam tanpa hentihenti. Dari tempoh itu, meski pun tidak bekerja dan duduk di rumah, tiada apa pun dilakukannya.
Dia seperti raja duduk di rumah. Bila balik rumah, saya dapati rumah berselerak dan serabut. Saya tertekan dan lemas.
Setiap masa saya ‘berleter’ menasihatinya dan berharap dia akan berubah ringan tulang membantu sekurang-kurangnya mengemas rumah bagi meringankan tekanan dan beban yang saya hadapi.
Tapi, entah esok atau bila... Saya hanya mampu bersabar dan berdoa mudah-mudahan hatinya terbuka untuk membantu saya, suatu hari nanti.
KES 3: Masa dihabiskan di luar
Abdul Razak Abdullah, 20-an
SEJAK mendirikan rumah tangga kirakira tiga tahun lalu, saya tidak pernah sekali pun membantu tugas di rumah malah menyerahkan sepenuhnya kepada isteri.
Disebabkan masa kerja yang banyak dihabiskan di luar, saya tidak berkesempatan mengambil tahu urusan di rumah.
Saya bekerja dengan syarikat pembalakan yang memerlukan tempoh masa tertentu berada dalam kawasan pembalakan.
Sesekali pulang ke rumah, sudah keletihan dan banyak masa hanya berehat sementara isteri sediakan keperluan saya dan anak kecil kami. Isteri saya menoreh getah sejak sebelum mereka berumah tangga lagi.
Tidak pernah sekali dia menyekat kemahuan isteri untuk bekerja di samping menggalakkannya melakukan perkara berfaedah semasa ketiadaannya di rumah.
Kami bukanlah daripada keluarga senang dan dia (isteri) juga tahu pendapatan saya yang tidak seberapa ini hanya mampu sediakan keperluan ala kadar sahaja.
Kesudian dia bekerja setidaknya dapat penuhi kemahuannya sendiri dan bantu saya tampung mana-mana keperluan di luar jangka.
Tetapi saya memang tidak dapat membantunya uruskan hal rumah memandangkan faktor kerja yang tidak menentu masa.
KES 4: Tugas sebagai pemandu lori membantaskan
Ahmad Kamil Mohamed, 40-an
BEKERJA sebagai pemandu lori tidak memberi peluang kepada saya memberi tumpuan kepada isteri dan empat anak di rumah.
Setiap kali pulang ke rumah, dia sudah keletihan dan masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk berehat sahaja.
Sepanjang 15 tahun berumahtangga, saya belum mampu lagi bantu isteri menguruskan kerja rumah.
Pernah juga isteri bersungut kepenatan kerana dia juga bekerja pembantu kedai makan untuk tampung kewangan kami, tetapi saya tidak boleh ambil risiko berhenti kerja kerana belum tentu dapat kerja yang lebih baik daripada ini.
Sebelum berumah tangga saya biasa lakukan sendiri kerja di rumah termasuk basuh baju kerana tidak ada pilihan lain. Apabila berumah tangga tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri.
Anak-anak juga lebih rapat dengan isteri dan saya hanya dirujuk ketika memerlukan sokongan kewangan bagi persekolahan mereka.
Sekarang saya tidak betah lakukan kerja rumah tambahan pula sekiranya isteri dalam pantang, kerja diambil alih ibu atau ibu mertua yang tinggal berdekatan.
Sumber : Sinarharian
Rumahtangga : Tugas perempuan VS Tugas lelaki
Reviewed by Unknown
on
09:39:00
Rating:
No comments: